Tuesday, November 17, 2009

NIKAH MELALUI AGENSI

NASIHAT BAGI MEREKA YANG BERHASRAT MENGGUNAKAN PERKHIDMATAN AGENSI ATAU BROKER UNTUK MENGURUSKAN PERKAHWINAN DI SELATAN THAILAND

Anda dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai agen-agen yang menguruskan pakej perkahwinan di Selatan Thailand. Sila buat tinjauan terlebih dahulu sebelum memilihmana-mana agensi tersebut kerana ada agensi yang tidak bertanggung-jawab dan menipu pasangan yang ingin dan yang telah berkahwin.

Jangan terpengaruh jika ada agensi yang menggenakan caj sangat murah. Contohnya RM300 atau RM500.00 untuk akad nikah di Thailand. Sebenarnya anda akan tertipu kerana mereka tidak memberitahu secara lengkap proses yang akan dilangsungkan. Selepas selesai akad nikah dan diberi Sijil Nikah pasangan ini menganggap proses nikah kahwin ini sudah selesai dan terus pulang ke Malaysia. Pihak agensi ini tidak memberitahu bahawa surat nikah ini perlu di sahkan oleh Majlis Agama Islam Songkla dan juga oleh Konsul Malaysia di Thailand. Apabila permohonan untuk mendaftar perkahwinan di Malaysia dikemukakan ke Jabatan Agama Islam di Malaysia, dokumen yang dikemukakan tidak lengkap dan pengguna terpaksa mencari agen tadi sekali lagi untuk mendapatkan surat pengesahan dari Majlis Agama Islam Songkhla dan Konsul Malaysia. Ya tak ya kena keluar lagi perbelanjaan tambahan dan membuang masa anda sahaja.

Jangan terpengaruh kepada agensi di Malaysia yang berselindung disebalik status syarikat seperti syarikat guaman. (contoh sahaja) atau korporat dan lain-lain. Kerana terlalu yakin dengan status mereka anda sanggup membayar kepada mereka sehingga RM2,000.00 atau RM3,000.00 tetapi agensi ini tidak menguruskan sendiri pemergian anda ke Thailand. Sebaliknya mereka menyerahkan urusan pernikahan ini kepada agensi di sempadan Malaysia Thailand untuk menguruskan pernikahan anda. Agensi ini pula mintak duit lagi untuk kos pengangkutan dan khidmat mereka di Thailand.

Pastikan bahawa agensi yang anda pilih mudah dihubungi samada sebelum atau selepas selesai urusan perkahwinan di Thailand. Sekiranya timbul masalah dibelakang hari dimanakah anda boleh mencari mereka, nama orang yang menguruskan, alamat lengkap mereka dan pastikan nombor telefon dan lain-lain untuk dhubungi kelak... Jika boleh bercakap dan bertanyalah mereka semua perkara yang berkaitan dengan urusan ini. Buat penilaian dan pertimbangan yang sewajarnya sama ada anda yakin atau tidak dengan perkhidmatan yang bakal anda perolehi dari agensi ini.

Pastikan samaada orang yang menguruskan pakej ini bertindak sebagai broker sahaja atau melibatkan sepenuh masa bersama anda dari awal hingga selesai proses perkahwinan ini. Adakah beliau turut mengiringi anda bersama atau setakat urusan di Malaysia sahaja dan urusan seterusnya diserahkan kepada agensi di Thailand. Ini ialah untuk mengelakkan anda daripada diekploitasi oleh agensi di Thailand yang mencari helah untuk mendapatkan duit tambahan. Bukan semua agensi di Thailand tidak boleh dipercayai tetapi sebagai peringatan dan kewaspadaan lebih baiklah kita berhati-hati, kerana kita tidak kenal siapa di sana dan kita tidak boleh bertutur dan memahami bahasa Thai. (Maaf jika menyinggung mana-mana agensi yang terlibat).

Pastikan bahawa semua urusan dokumen seperti Sijil Nikah, Surat Pengesahan Majlis Agama Islam Songkhla dan Surat Pengesahan daripada Konsul Malaysia tulin dan siap samaada pada hari yang sama atau pada tarikh yang lain. Jika tidak dapat pada hari yang sama, pastikan semua dokumen tersebut dihantar kepada anda dalam tempoh yang dijanjikan.

Pastikan juga bahawa anda tidak akan tertipu dengan nikah sindikit yang beroperasi di kedai kopi dan menggunakan jurunikah tidak bertauliah. Mungkin anda akan diberi surat nikah palsu atau Sijil Nikah yang bertandatangan dan cop palsu. Untuk pengetahuan anda semua urusan akad nikah di Selatan Thailand dikendalikan oleh Kadhi atau Naib Kadhi yang diberi tauliah oleh Majlis Agama Islam mengikut Wilayah masing-masing. Anda boleh minta agensi atau pengurus nikah ini menunjukkan rekod perkhidmatan mereka dengan menyemak salinan fotostat semua dokumen pasangan yang pernah menggunakan perkhidmatan mereka. Jika boleh dapatkan nombor telefon pasangan yang pernah berkahwin dan tanyalah mereka berkaitan perkhidmatan yang diberi sama ada mereka berpuas hati atau tidak.

Pastikan bahawa kos pakej yang dikenakan bersih dan tidak ada kos tersembunyi. Adakah kos ini hanya untuk perkhidmatan broker sahaja tidak termasuk kos Jurunikah/Kadhi dan saksi serta duit bayaran pengesahan Majlis Agama Islam Songkhla dan Bayaran pengesahan dokumen di Pejabat Konsul. Mintak agensi jelaskan dengan terperinci supaya tidak timbul perbalahan selepas anda berada di Thailand.
Pastikan agensi yang menguruskan membantu anda dalam urusan pasport seperti mengisi borang imigeresen Thailand untuk masuk ke Thailand dan duit upah cop paspot anda semasa hendak pergi dan semasa hendak pulang dan samada bayaran ini termasuk dalam harga pakej yang ditawarkan.

Pastikan juga samada kos makan minum dan tempat tinggal jika bermalam termasuk dalam pakej yang ditawarkan.

Pastikan juga sama ada tempat yang hendak dituju itu berisiko atau tidak. Maknanya adakah tempat ini aman dan bebas dari gangguan tembak menembak dan letupan bom. Keutamaan hendaklah diberi kepada keselamatan diri anda. Sebarang kemungkinan yang berlaku tidak dapat dielakkan.

ARTIKEL INI DISEDIAKAN ATAS KESEDARAN DAN SIMPATI PENULIS BERDASARKAN PENGALAMAN DAN RINTIHAN MEREKA YANG PERNAH MENCERITAKAN KISAH MEREKA KEPADA PENULIS, DAN BERHARAP SELEPAS MEMBACA RENCANA INI TIDAK ADA PIHAK-PIHAK YANG AKAN TERANIAYA DAN TERTIPU DAN KEPADA AGENSI YANG TERLIBAT DIHARAP BUATLAH KERJA DENGAN PROFESIONAL DAN BETUL. TOLONGLAH MERINGANKAN BEBANAN MEREKA YANG MEMERLUKAN PERKHIDMATAN ANDA. KEPADA MEREKA YANG TERSINGGUNG PENULIS MEMOHON BERBANYAK MAAF.

No comments:

Post a Comment